Friday, 1 June 2012

TAKDIR ILLAHI


Assalamualaikum...
urm..act, sy terjumpe balik ape yg sy penh hntr email kpd seorg ckgu yg ingin sy mencritakan semule pengalaman hidup sy ktika f5...
berkali2 sy fikir same ade utk post kt cnie ke x..sy ingin sesape yg trbace bersyukur ats sgale nikmat yg tlh anda rasai..ujian yg sy alami hnye kecil shje nmun sukar sy tempuhi...
tolonglah hargai ibu bapa anda..apabila sy bce semule sy lebih menghargai nikmat yg sy rasai skrg..

Aku seorang pelajar yang dilahirkan dengan kasih sayang dan didikan yang amat cukup daripada kedua ibubapaku.Hidupku di mrsm serting pada mulanya sangat indah.Pada semester pertama, aku mendapat keputusan cemerlang sekaligus menempatkan aku di tempat pertama.Aku tidak pernah memikirkan kegembiraanku,yang hanya terlintas difikiranku, senyuman daripada kedua ibubapaku.Itulah satu-satunya tujuan untuk aku berjaya dalam setiap peperiksaan yang ku hadapi.

Pencapaianku yang cemerlang pada sem1 juga telah membuatkanku memegang  jawatan biro akademik dalam badan kepimpinan pelajar.Pada mulanya aku tidak yakin untuk memegang apa-apa jawatan dalam BKP,namun setelah ibubapaku memberi aku semangat,aku lebih berasa yakin.Maka,bermulalah hari-hari yang mencabar bagiku.Aku harus bijak dalam membahagikan tugas dan masa untuk belajar.Namun aku amat bersyukur kerana  guru penasihat organisasi tersebut amat memahami pelajar seperti kami yang selalu tertekan dengan tugas dan tanggungjawab kami sebagai seorang pelajar.

Aku teruskan usaha untuk menempah kejayaan pada peperiksaan spm yang akan aku tempuh sambil menjalankan tugas ku sebagai biro akademik.Aku kadang kala amat sukar untuk menumpukan perhatian dalam kelas setiap kali ada tugas yang belum diselesaikan.Aku juga sering kali mendapat keputusan agak teruk dalam ujian atau peperiksaan.Setiap kali aku mengalami tekanan perasaan, aku sering menelefon ibuku untuk meminta nasihat.Aku juga sering melepaskan segala masalahku kepada ibuku kerana dia seorang pendengar yang setia.Dia insan yang amat aku perlukan dalam hidup ini.

Namun hidupku yang aku rasakan cukup lengkap walaupun ada kalanya menghadapi masalah mula berubah suram dan amat memilukan bagiku semenjak 19 JUN 2010.Ianya bermula apabila aku dipanggil oleh seorang guru.Guru tersebut memberitahuku bahawa makcik dan pakcikku ingin berjumpaku.Aku amat terkejut pada waktu itu kerana makcik dan pakcikku tidak pernah melawatku sebelum ini.Namun aku tenangkan hati dari segala fikiran yang negatif,.Makcikku menyuruhku untuk pulang bersamanya.Namun,apabila aku bertanya sebab aku dibawa pulang,makcikku hanya tersenyum dengan pandangan yang amat memilukan .Makcikku cuba untuk memberitahu sesuatu tetapi pakcikku terus memberitahuku bahawa ibuku sakit.Sepanjang perjalanan ke rumahku aku melihat makcikku menangis.Aku hanya mampu berdiam diri pada waktu itu dan bertawakal kepada Allah s.w.t agar ibuku selamat.

 Aku amat terkejut apabila pakcikku memberhentikan keretanya di kampung ibuku.Aku bertanya kepada pakcikku sebab dia singgah di kampung ibuku.Dia hanya menjawab ibuku akan datang ke kampung ini.Aku masih tidak memahami keadaan sebenar ketika itu.Apabila aku masuk ke rumah nenekku,aku melihat ramai yang sedang membaca yassin dan ayat al quran.Aku dipeluk oleh nenekku dan aku melihat nenekku meraung kesedihan.Aku segera menepis tangan nenekku dan bertanya apa yang telah berlaku sebenarnya.Aku memaksa makcikku untuk memberitahu kejadian yang sebenar namun dia hanya senyap dan terus menangis.Aku cuba mencari ibuku,ayahku,adik beradikku namun aku hanya dapat melihat ramai penduduk kampung nenekku serta saudara maraku sahaja.

 Makcikku menggagahkan diri memberitahuku perkara sebenar.Innalillah wainnalilahi rojiiun....ibuku telah meninggal dunia ketika tidur.Aku tidak dapat menahan air mataku dan terus meraung kesedihan.Aku bukannya sedih kerana tidak rela dengan pemergian ibuku,tetapi aku sedih kerana hanya aku seorang sahaja anak ibu yang tidak dapat memandikan dan mengkafankan jenazah ibu.Aku tidak dapat peluang tersebut.Aku juga tidak dapat peluang untuk meminta ampun kepada ibuku atas semua kesalahanku kepadanya.Tidak ada seorang pun yang dapat menenangkanku ketika itu.Aku merasakan inilah balasanku kerana tidak menghargai ibuku selama ini.Aku telah banyak melakukan kesalahan kepadanya.

Setelah beberapa minit kemudian,aku melihat keluargaku sampai dengan dibawa oleh van jenazah.Aku tidak dapat berkata apa-apapun ketika itu apabila aku melihat jenazah ibuku.Aku masih ingat lagi kata-katanya dua hari yang lepas untuk melawatku pada minggu tersebut ,namun ,sebaliknya yang berlaku.Ayahku terus memelukku dan menyebut “kaklang,ibu dah tak ada..doakan kesejahteraan ibu dekat sana”....Semenjak peristiwa itu,aku merasakan hidupku cukup terabai.Aku merasakan tiada gunanya aku belajar kerana aku tidak akan dapat melihat lagi ibuku mengukir senyuman setiap kali aku mendapat kejayaan. Namun,aku cuba gagahkan diri dengan sentiasa memohon petunjuk Allah s.w.t.Aku juga cuba belajar menjadi seorang yang lebih tabah dan sabar.Aku cuba untuk tidak kerap menangis kerana aku tahu arwah ibuku amat memerlukan doa daripada anaknya yang soleh.

Aku rasa amat bersyukur kerana aku dikurniakan  guru-guru yang amat mengambil berat kepada anak muridnya.Guru penasihat bkp ,En.Shuhaimi  guru pendidikan islam,Pn. Siti Hajar guru subjek prinsip perakaunan,Pn.Kamaruza dan guru homeroom ckgu Izrayani sering memberiku semangat dan motivasi diri.Rakan-rakanku juga sering menjadi pendengar yang setia terutama rakan bilikku.Pn.Kamaruza sering melayanku seperti anaknya sendiri .Aku mengubah niatku untuk belajar bersungguh-sungguh agar aku dapat membalas jasa mereka serta jasa guru-guruku yang tidak pernah berputus asa dalam mendidik anak anak muridnya.

Aku ternyata gagal untuk mendapat markah yang cemerlang dalam percubaan spm.Aku telah gagal dalam subjek yang aku amat minati iaitu biologi.Pada masa itu,aku hanya berfikir bahawa cita-citaku untuk menjadi doktor hanya tinggal angan-angan semata-mata.Selepas percubaan spm,ramai yang mohon untuk mendapat skim pelajar cemerlang(spc).Aku tidak pernah terfikir untuk memohon memandangkan keputusan percubaan tidak akan melayakkanku untuk mendapatkan tajaan dalam bidang sains perubatan.

Namun,seorang rakanku,Hafiy Hanani telah menarik tanganku dan mengajakku untuk mengisi borang tersebut.Aku mengisi borang dan memilih jurusan yang sesuai dengan keputusan trial yang aku dapat iaitu perakaunan.Alhamdullilah aku layak untuk ditemu duga.Aku kurang bersemangat dan yakin untuk ditemu duga memandangkan emosi aku sedang terganggu dek ujian yang telah aku hadapi.Aku menjawab setiap soalan dengan sejujur-jujurnya kerana aku kurang bersedia dan setelah aku ditemu duga,aku merasakan bahawa peluang aku untuk mendapat spc amat tipis.Aku hanya tinggal lagi seminggu untuk menduduki spm.Aku kuatkan hati dan cuba sedaya upaya untuk kuatkan semangat agar terus berusaha untuk spm walaupun insan yang paling ku sayang dan aku amat perlukan ketika itu telah tiada.

Aku tidak pernah malu untuk bertanya dengan rakan –rakanku setiap soalan yang aku kurang faham.Aku bersyukur aku mempunyai rakan yang amat baik hati dan sedia untuk menolong.Aku cuba mencari ketenangan dengan sentiasa mendekatkan diri denganNYA.Aku amat berasa tenang dan tenteram apabila aku berada di surau.Aku baru mengerti sedikit demi sedikit bahawa setiap dugaan dan ujian yang aku terima mendekatkan diriku kepada Allah s.w.t.Aku berharap sangat usaha kerasku dalam tempoh yang singkat ini dapat membuahkan kejayaan yang dapat mengukirkan senyuman ayahku.Setiap hari peperiksaan aku cuba untuk menempuhnya dengan tenang.Aku cuba sedaya upaya dan bersungguh-sungguh dalam setiap kertas yang aku duduki.

Setelah beberapa hari aku duduk di rumah setelah ujian spm tamat,aku mendapat panggilan dari pejabat mara yang mengatakan aku berjaya dalam temuduga spc.Aku memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada yang Maha Esa.Aku telah menjadi pelajar UiTM pada 27 DIS 2010  dalam jurusan perakaunan.Pada mulanya aku kurang bersemangat kerana aku hanya dapat membantu adikku akakku dan ayahku hanya 2 minggu sahaja selepas spm.Namun, aku menggagahkan diri untuk terus menggapai kejayaan walaupun bukan pada bidang yang aku minati.Aku sentiasa berfikir bahawa inilah jalan yang terbaik yang Allah s.w.t berikan kepadaku dalam hidup ini.

Tibalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar yang telah menduduki spm pada tahun 2010.Tarikh yang bersejarah iaitu 23 MAC 2011.Pada pagi tersebut aku hanya diam seribu bahasa dan hanya memikirkan bakal keputusan yang aku akan dapat.Aku hanya berserah kapada Allah dan akan tabah menerima segala keputusan yang aku akan dapat.Alhamdullilah,aku telah mendapat 8A2B.Bagiku,itu sudah cukup untukku yang hanya sempat berhempas pulas di saat-saat aku merasai segala tekanan yang aku hadapi.Jika aku tabah,sabar serta kuat apabila aku menghadapi dugaan pada masa itu,mungkin aku akan dapat meneruskan usahaku tanpa berfikir untuk berputus asa.

Aku bukanlah seorang insan yang kuat pegangan agamanya.Namun,aku akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan keredhaan dariNYA.Aku memegang slip keputusan dan terus keluar  dari dewan untuk memberitahu ayahku.Ayahku amat gembira lalu terus memelukku dan hanya menyebut ‘ibu’ dengan suara yang sangat memilukan.Aku amat memahami maksudnya apabila menyebut ibu.Ayahku ingin sekali meraikan kejayaanku bersama ibuku.Namun,Allah s.w.t tidak mengizinkannya.Aku berulang kali menyebut “Ayah,maafkan ira kerana tidak dapat memberi ayah 10 A”..

Aku sekali lagi memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepadaNYA kerana  telah memberi rezeki kepadaku.Selepas itu, ayahku mengajakku untuk menziarah kubur arwah ibuku.Walaupun aku tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan insan yang paling kusayangi,namun aku bersyukur kerana dapat melihat senyuman ayahku.InsyaAllah,aku akan menjadi anak yang solehah agar doaku untuk ibuku diterima oleh Allah s.w.t..amin...


1 comment:

  1. Syahira..perkara yang paling kte takuti rupa2nya syira yg rasa. Subhanallah...kuat sungguh syira. Ujian adalah tanda kasih Allah pada syira sekeluarga. Semoga ibu syira tenang di sana. Amin. :)

    ReplyDelete